 |
|
Want your own Fotopage?

|
|
Pengkhianat 's FotoPage
By: Pengkhianat Jalur Gemilang
[Recommend this Fotopage] |
[Share this Fotopage]
| [Track this Fotopage]
|
View complete fotopage
|
|
| Saturday, 15-Sep-2007 15:18 |
Email | Share | Bookmark |
|
9 dicari bantu siasatan kes rusuhan
|
|
KUALA TERENGGANU: Polis mencari sembilan lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes rusuhan dan membakar Jalur Gemilang di Jalan Sultan Mahmud di sini, yang turut menyebabkan empat anggota polis cedera, malam Sabtu lalu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah I, Superintendan Khairi Ahrasa, berkata semua lelaki terbabit dikenal pasti pihaknya melalui rakaman video dan gambar yang diperoleh polis pada malam kejadian.
“Kita minta individu berkenaan supaya segera tampil memberi kenyataan kepada polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, semalam.
Khairi berkata, orang ramai yang mengenali atau mengetahui di mana lelaki itu berada juga diminta memaklumkannya kepada polis.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai sembilan lelaki itu boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuala Terengganu, Deputi Superintendan Noor Mushar Mohamad di talian 013-9366565 atau pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Hadzwan Zulkifli di talian 012-3674945.
Sembilan lelaki itu dikenal pasti berada bersama perusuh yang dicari polis bagi membantu melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 440 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan perbuatan khianat ketika rusuhan.
“Polis juga akan menyiarkan lebih banyak gambar individu yang berada di lokasi kejadian itu secara berperingkat tidak lama lagi, bagi mengumpul keterangan untuk membantu menyelesaikan kes berkenaan.
“Polis menerima tiga laporan kerosakan harta benda awam dan perbuatan membakar Jalur Gemilang iaitu daripada Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan orang ramai,” katanya.
Sabtu lalu, empat anggota polis termasuk tiga daripada Unit Simpanan Persekutuan (FRU), cedera diserang dan dibaling termasuk dengan bom api, dipercayai oleh penyokong parti pembangkang selepas polis mengarahkan mereka bersurai daripada menghadiri perhimpunan haram.
Dalam kejadian itu, polis menahan 23 lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun kerana membaling batu, botol, kayu dan bom api ke arah anggota polis serta merosakkan harta benda awam termasuk membakar Jalur Gemilang pada perhimpunan haram bermula 10 malam.
Khairi berkata, polis juga sudah memanggil seorang warga emas yang juga tuan rumah lokasi ceramah serta merakam keterangan Ketua Penerangan Pemuda Pas Kuala Terengganu, bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Keterangan lelaki warga emas berusia 77 tahun dan Ketua Penerangan Pemuda Pas Kuala Terengganu selaku penganjur ceramah itu dibuat jam 10.40 pagi semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.
|
|
|
|
|
View complete fotopage
|
|
|
|
 |
|
|
|